Bahasa Inggeris tak betul tak jadi masalah buat Tunku Azizah – “Saya tidak malu kerana itu bukan bahasa ibunda saya”.

DALAM kehangatan isu yang memperdebatkan mutu pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris di negara ini, tweet Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah cukup mencuri tumpuan ramai.

Baginda menerusi Twitter rasmi @cheminahsayang pada Selasa mengakui tidak malu apabila salah dalam penggunaan bahasa Inggeris kerana ia bukanlah bahasa ibunda baginda.

“Ada masa bahasa Malaysia saya kurang betul dan saya malu, tetapi kalau bahasa Inggeris saya tidak betul, saya tidak malu kerana itu bukan bahasa ibunda saya. Saya anak Melayu,” titah baginda.

Perkongsian tweet itu sehingga kini menerima lebih 8,100 ulang kicau (Retweet)

“Pernah dengar tak orang Siam, Indonesia dan Filipina cakap orang putih? Sedap je slang mereka,” tulis baginda lagi menerusi ruangan komen posting itu.

Ia pantas menerima reaksi netizen yang turut membanjiri posting berkenaan dengan komen-komen pendapat mereka.

“Tuanku sangat-sangat berjiwa rakyat dan negara. Kita rakyat Malaysia seharusnya bangga dan sentiasa bertutur dalam bahasa ibunda kita.

“Betul tu tuanku Saya pun macam tuanku juga. Bahasa jiwa bangsa.

“Bahasa jiwa bangsa. Saya anak Melayu. Daulat Tuanku,” tulis beberapa netizen.

Dalam pada itu, isu penguasaan bahasa Inggeris itu mula menjadi sebutan setelah satu tweet dimuatnaik pelakon Maya Karin, baru-baru ini. Maya memuat naik satu tweet mengenai pengalamannya yang bertanya soalan asas dalam bahasa Inggeris kepada seorang budak perempuan berusia 10 tahun di Terengganu.

Bagaimanapun katanya soalan itu hanya dijawab budak perempuan berkenaan selepas dia bertanya dalam bahasa Malaysia. Selain itu, Maya turut menyebut nama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk berbuat sesuatu mengenai situasi itu.

Menerusi laporan mStar pada Ahad, Maya tampil menjelaskan tujuan sebenar dia membuat kenyataan itu. Kata Maya, dia tidak berniat untuk memperlekehkan mana-mana individu berhubung perkara itu sebaliknya mempersoalkan mengenai mutu pendidikan sebagai fokus utamanya.

MSTAR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *