[VIDEO] Tidak Dapat Melihat dan Hidap Autism, Aqeel Hafal Surah Yassin Seawal Usia 3 Tahun!

Dia tidak dapat melihat keindahan alam yang serba cantik dan luas ini semenjak kecil lagi tetapi senyuman dan gelagat si kecil yang comel ini mampu membahagiakan kedua ibu bapanya.

Adik Ahmad Aqeel Bin Faiz Mohammad Noor, kanak-kanak istimewa ini yang kini semakin dikenali selepas kisahnya yang berkebolehan luar biasa itu menjadi viral di media sosial.

Ahmad Aqeel telah disahkan tidak memiliki bebola mata di mata kanannya manakala mata kirinya pula hanya berwarna putih.

Di dalam satu artikel di Mingguan Wanita, sewaktu usia Aqeel menginjak usia 6 bulan, bapanya, Faiz Mohammad Noor Bin Kamaruzaman menyedari akan anak kecilnya itu kelihatan semakin aktif.

Malah, emosi Aqeel juga dikatakan semakin berlebihan selain suka menghantukkan kepalanya dan juga mengamuk.

Disebabkan keadaan yang membimbangkan itu, Faiz bersama isterinya, Nur Izzah Binti Mohamad Kamil dengan segera merujuk dan membawa Aqeel kepada pakar psikologi di Kajang untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang apa yang telah berlaku terhadap Aqeel.

Dan ketika itulah, mereka akhirnya dimaklumkan bahawa Aqeel telah mempunyai satu lagi penyakit berlainan.

“Keputusan ujian.. Aqeel disahkan autisme (mild). Kami redha dan positif.”

Walau bagaimanapun, anak kecil yang tidak mempunyai penglihatan ini, sungguh istimewa dan bapanya dikatakan mula menyedari akan kelebihan yang dimiliki Aqeel apabila dia berjaya menghafal surah Al-Quran. Lebih mengejutkan, Aqeel dikatakan telah berjaya menghafal surah Yasin di usia seawal 3 tahun.

“Sampailah satu hari ketika membaca surah Yasin, tiba-tiba Aqeel yang berumur 3 tahun itu sambung bacaan saya sampai habis surah itu.” Ya Allah!

Walaupun Aqeel masih belum dapat bertutur dengan sepenuhnya, Aqeel dikatakan seringkali membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

“Orang akan ingat dia bercakap bahasa Arab, padahal dia melafazkan ayat-ayat Al-Quran.”

Bapa dan ibu Aqeel turut berkongsi cara bagaimana mereka lakukan dan amalkan sehingga anak istimewa ini mampu menghafal Al-Quran.

Semua ibu bapa boleh jadikan rujukan agar dikurniakan juga anak yang sepandai Aqeel di satu masa nanti. Siapa tahu, jika Allah makbulkan?

Ini Cara Ibu Ayah Hebat Didik Anak Istimewanya Hafal Al Quran

1. Perdengarkan Ayat Al Quran Sejak Bayi

Sejak bayi sampai sekarang, ibu dan ayah sering pasangkan alunan ayat Al Quran untuk Aqeel. Baik di rumah mahupun dalam kenderaan.

2. Nak Bezakan Malam Siang, Pasangkan Surah Dalam Al Quran

Dulu Aqeel sukar bezakan waktu malam atau siang. Buatkan dia tak tidur waktu malam. Kami akan pasangkan ayat suci Al Quran sepanjang malam. Dan dia akan mendengarnya. Dari situ juga dia dapat hafal ayat-ayat Al Quran.

3. Berjumpa Ibu Bapa Idola Remaja Cacat Penglihatan

Kami ke Kelantan berjumpa ibu bapa remaja cacat penglihatan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang juga johan qari Tilawah AL Quran peringkat negeri Kelantan 2017.

Bertanya bagaimana mereka mampu mendidik Qayyim menghafal Al Quran. Caranya dengan memainkan semula perakam suada dan dia akan hafal. Konsep yang sama kami terapkan pada Aqeel.

4. Ibu Bapa Ini Persiapkan Diri Setahun Belajar Al Quran Braille

Kami ikuti program Al Quran Braille di bawah kelolaan USIM selama setahun. Agar kami dapat persiapkan diri untuk mendidik Aqeel tentang Al Quran.

Kami juga membuat kempen CSR dengan orang ramai yang mahu menyumbang untuk mewakafkan Al Quran Braille untuk diinfaqkan kepada sekolah-sekolah pendidikan khas, murid cacar penglihatan.

5. Tak Pernah ‘Simpan’ Aqeel

Aqeel berhak nikmati kehidupannya. Biarpun dia anak istimewa tak bermakna Aqeel perlu ‘disimpan’ dalam rumah. Tak pernah sekalipun rasa malu bawa dia ke mana-mana.

Dia suka berenang, jiwanya tenang bila dekat dengan air. Aqeel juga ke PDK di Brickfield untuk belajar urus diri. Alhamdulillah, perubahannya positif.

6. Didik Anak-anak Lain Sayangi Aqeel

Aqeel anak kedua. Abang sulung, Ahmad Abqari, 8 dan anak ketiga, Aisyah Azzahra, 1 sayangi Aqeel. Abangnya tak pernah sekalipun memarahi Aqeel. Ajar tanggungjawab pada abang. Dari kecil dia dah bawa Aqeel ke taman permainan dan kenalkan dengan kawan-kawannya.

7. Aqeel Adalah Anugerah

Anak keduanya itu tak pernah dianggap beban bahkan satu anugerah dan membawa rezeki pada mereka.

“Kehadiran Aqeel membuatkan kami lebih redha dan lebih dekat dengan Allah SWT. Ibu bapa yang ada anak istimewa seperti kami, berusahalah untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak kita.”

“Yang penting, jangan pernah rasa malu dan sedih di atas kurniaan Allah itu. Berdampinglah dengan rakan-rakan yang dapat memberikan sokongan kepada kita.

Menurut ibu bapa Aqeel, mereka mula bangkit dari kesedihan yang pernah mereka alami pada suatu ketika dahulu selepas bertemu dengan seorang kaunselor, Encik Mohd Hafiz Hali, (kini bertugas sebagai pegawai khas Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Menurut Faiz lagi, Encik Hafiz telah menjemput dia dan isterinya untuk bertandang ke rumahnya dan melihat sendiri kehidupannya yang juga cacat penglihatan. Kerana jemputan itulah, Faiz mengakui bahawa Hafiz telah berjaya membuka mata dan mindanya sekaligus menjadi turning point untuknya dan isteri.

“Saya yakin Aqeel mampu hidup normal seperti orang lain. Isteri Encik Hafiz sendiri pun cacat penglihatan tetapi kehidupan mereka sempurna dan dapat pula membesarkan 4 orang anak yang normal dengan baik sekali.”

Kami mendoakan adik Aqeel untuk terus membesar dan memperoleh kebahagiaan bersama keluarga dan orang-orang yang disayanginya.

Semoga diberikan kesihatan dan kegembiraan selamanya dan ibu bapa di luar sana boleh mencontohi bagaimana pasangan suami isteri ini mendidik anak istimewa ini.

Sumber – yoy network

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *